|
Manchester United berjaya menyempurnakan perpindahan pertamanya dengan membawa masuk Antonio Valencia. Pemain berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun selepas berhijrah dengan nilai tawaran yang dirahsiakan. Valencia, sebelum ini beraksi bersama Wigan dijangka membantu Red Devils mengisi kekosongan ditinggalkan Cristiano Ronaldo di bahagian sayap kiri yang berhijrah ke Real Madrid.  ANTONIO VALENCIA United dilaporkan mengeluarkan perbelanjaan mencecah £16 juta (RM92.6 juta) untuk mendapatkan khidmat Valencia. "Perpindahan ke United ibarat mimpi menjadi kenyataan. Saya gembira bersama Wigan tetapi saya mahu saingan yang lebih mencabar bersama Red Devils. "Bermain dengan disaksikan 76,000 peminat bersama Wayne Rooney, Rio Ferdinand dan Ryan Giggs adalah pengalaman menakjubkan. Saya tidak sabar untuk memulakan kempen musim depan," kata Valencia. Pengurus United, Sir Alex Ferguson mengakui dia memantau perkembangan Valencia sejak pemain itu beraksi di Wigan dua musim lalu. "Valencia adalah pemain yang saya sanjungi. Dia pernah beraksi selama dua tahun di aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Wigan. "Saya percaya kepantasan dan keupayaannya akan membantu United musim depan," kata Ferguson.
|